25 January 2011

Buka Mata & Minda

CUEPACS mahu penjawat awam kontrak diserap
Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Sukhairi Abd Thani
bhnews@bharian.com.my

Pengalaman kerja diutama sebelum lantikan jawatan tetap

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap penjawat awam yang berstatus kontrak di sektor kerajaan dapat dilantik sebagai kakitangan awam tetap.

Presidennya, Omar Osman, berkata sehingga kini kira-kira 50,000 penjawat awam berstatus kontrak di seluruh negara dan ada antaranya sudah berkhidmat lebih tiga tahun dan mempunyai pengalaman luas. “Kita harap status pekerja kontrak dalam sektor awam ini dikaji semula, bagi keutamaan pada pekerja kontrak ini untuk dilantik sebagai kakitangan tetap kerana ada antara mereka ini sudah mempunyai pengalaman lebih tiga tahun.

“Jika kita tidak lantik golongan ini ke jawatan tetap, kita akan kehilangan ramai pekerja kontrak yang berpengalaman meloncat ke sektor lain kerana mereka memerlukan status jawatan tetap serta kebajikan yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, Omar menggesa kerajaan untuk melonggarkan syarat pengambilan mereka ini ke jawatan tetap.

“Oleh itu kita minta pihak kerajaan memberi perhatian terhadap perkara ini. Kalau ada kosong, beri keutamaan kepada pekerja kontrak, mereka ini wajar diberi kelonggaran. Kalau boleh kita harap dalam pembentangan bajet nanti, pihak kerajaan dapat memberi penekanan khusus terutama kepada mereka yang sudah berkhidmat lebih tiga tahun. “Ia selari dengan hasrat kerajaan dalam RMKe-10 menambah baik pembangunan modal insan dalam sektor awam, jadi wajar ia diberi perhatian sebaiknya,” katanya.

Sementara itu di KUANTAN, Omar berkata, CUEPACS mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap jabatan dan agensi kerajaan yang sengaja melambatkan pelaksanaan kenaikan pangkat kakitangan awam berdasarkan tempoh perkhidmatan.

Ini disebabkan ada jabatan atau agensi kerajaan di beberapa negeri masih belum melaksanakan arahan terbabit biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mei tahun lalu sudah mengumumkan supaya kakitangan sokongan yang sudah berkhidmat lebih 15 tahun diberi kenaikan pangkat.

Malah, pihaknya turut menerima banyak aduan ada jabatan dan agensi kerajaan memaksa kakitangan menduduki peperiksaan khas sebelum diberi kenaikan pangkat.

“Ini menyusahkan, kami sudah perjuangkan kakitangan diberi kenaikan berdasarkan tempoh perkhidmatan yang mendapat persetujuan kerajaan. Tetapi ada ketua jabatan yang mahu menunjuk kuasa, sepatutnya mereka memudahkan pelaksanaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Pahang, di sini, semalam.

Omar berkata, berikutan masalah yang timbul, pihaknya kini dalam usaha menyiapkan senarai nama ketua jabatan yang tidak berkompromi dengan arahan Perdana Menteri sebelum ini.

P/S: Kepada pihak yg berkenaan, sila buka mata & minda anda. Ramai pekerja kontrak/sementara di Jabatan Kerajaan masih setia, berpengalaman dan memberikan perkhidmatan yang terbaik walaupun dibayar gaji hari & tiada cuti. Ada di antara mereka telah berkhidmat lebih 5thn. Tetapi, untuk mendapat peluang diserap secara tetap amat susah. Sedangkan banyak pengambilan baru (jawatan tetap) dibuat dan kebanyakan dari mereka langsung tidak mempunyai kemahiran atau pengalaman. Mengapa?! Sila beri penjelasan!

0 comments:

Daisypath Anniversary tickers

LilySlim Weight charts